Pemain pertahanan Harimau Malaya, Daniel Ting membantu Ratchaburi mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) meskipun tewas kepada Persib Bandung.
Persib berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Gelora Bandung Lautan Api untuk mengatasi kelebihan agregat 3-0 yang dimiliki The Dragons.
Daniel terus diberi kepercayaan mengemudi bahagian pertahanan. Adam Alis dan Andrew Jung menjadi sandaran gol jurulatih Pangeran Biru, Bojan Hodak.
Separuh masa pertama menyaksikan Persib berusaha mencari gol awal menerusi kombinasi Adam dan Jung.
Malangnya, jentera serangan tuan rumah gagal menembusi gawang pelawat yang dikawal penjaga gol berusia 33 tahun, Kampol Pathomakkakul.
Gawang Ratchaburi akhirnya bocor pada minit ke-40 menerusi Jung. Walau bagaimanapun, keceriaan kem Persib hanya bertahan selama enam minit.
Uilliam Barros dikenakan kad merah oleh pengadil. Ini selepas penyerang Brazil itu dikesan melakukan terjahan serius ke atas bek tengah Ratchaburi, Jonathan Khemdee.
10 pemain Persib mempertahankan kelebihan 1-0 mereka sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Hodak membuat dua pertukaran dengan memasukkan Layvin Kurzawa dan Beckham Putra.
Kelebihan 11 pemain yang dimiliki Ratchaburi digunakan sepenuhnya jurulatih, Worrawoot Srimaka untuk mengawal perlawanan.
Persib semakin terdesak dengan memasukkan bekas kapten Perak FC, Luciano Guaycochea, Ramon Souza dan Sergio Castel untuk memburu gol tambahan.
Malangnya, gol yang dicari juara bertahan liga Indonesia itu tidak muncul. Hal ini membolehkan Ratchaburi menyingkirkan 10 pemain Persib dengan keputusan agregat 3-1.
Meskipun tewas, jeneral tengah Indonesia, Thom Haye dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.1. Daniel pula mendapat markah 7.2 selepas tampil mantap mengemudi pertahanan Ratchaburi.