Darren Lok Lihat Malaysia Kini Sudah Berbeza

Darren Lok Dion Cools Darren Lok Lihat Malaysia Kini Sudah Berbeza
FA Malaysia
Azri Haziq @azrihazq
6:13pm 03/09/2023

Penyerang kebangsaan, Darren Lok menjangkakan satu perlawanan yang menarik bakal dipertontonkan Harimau Malaya ketika menentang Syria dan China kelak.

Beliau yang ditemu bual ketika sesi latihan terakhir Harimau Malaya di Wisma FAM hari ini menzahirkan keterujaan bakal bertemu lawan yang berada di ranking yang lebih tinggi.

“Kami jangkakan perlawanan yang sukar. Macam kamu kata, kita dah lama tak bertemu lawan yang lebih rankingnya tinggi. Dua perlawanan yang memerlukan fizikal, itu bagus untuk kami menjelang Piala Asia 2024. Kualiti dan tahap perlawanan seperti ini sangat bagus dan kami bersemangat.”

Penyerang Sabah FC ini juga tekad untuk terus meledak. Beliau akan berusaha semampunya untuk menyumbang gol buat Harimau Malaya.

“Saya sentiasa nak menjaring kerana itulah tugas seorang penyerang. Di bawah kendalian Kim Pan-gon kami perlu bermain dengan intensiti tinggi jadi jika ada peluang, saya akan cuba meledak.”

Darren juga melihat Malaysia kini sudah berbeza dimana tahap dan prestasi semasa Harimau Malaya sudah meningkat dan Malaysia mampu bersaing melawan pasukan-pasukan besar.

“Saya rasa Malaysia kini sudah berada pada tahap yang kita mampu bersaing dengan pasukan besar. Saya kira semua teruja termasuk penyokong. Kita lihat nanti aksi bertemu Syria dan China, sebagai pemain kami sentiasa bersedia berikan yang terbaik,” ujar Darren.

Skuad Harimau Malaya bakal terbang ke bumi China esok, 4 September sebelum beraksi menentang Syria pada 6 September dan lawan terakhir iaitu tuan rumah China pada 9 September 2023.