Penyerang Liverpool, Darwin Nunez berjanji akan menambahbaik kemahiran penyudahnya selepas terlepas peluang menambah gol di Anfield awal pagi tadi.
Nunez yang sebelum itu menjaringkan gol pada minit ke-34 berpeluang menambah koleksi golnya selepas membuat larian solo ke arah gawang Toulouse.
Dengan penjaga gol Guillaume Restes sudah tertewas, penyerang Uruguay itu cuba menolak bola ke dalam gawang yang terbuka tetapi bola terkena tiang.
Nunez bernasib baik apabila Ryan Gravenberch menolak bola kembali ke dalam gawang pada minit ke-65.
Pada akhirnya, The Reds meraih kemenangan 5-1 ke atas Toulouse dalam aksi Liga Europa di Anfield. Begitupun, insiden Nunez masih menjadi bualan penyokong.
Atas sebab itu, bekas penyerang Benfica itu berjanji akan melakukan yang lebih baik bila diturunkan dalam perlawanan Liverpool yang seterusnya.
“Tidak mengapa. Saya akan jadi lebih kuat dan bekerja keras memperbaiki diri saya dan membantu Liverpool,” katanya di akaun X peribadinya.
Nunez berharap input yang dibawa dalam perlawanan hari ini sudah cukup untuk menyakinkan Jurgen Klopp untuk menurunkan beliau dalam perlawanan seterusnya.
Perlawanan Liverpool seterusnya ialah menentang Nottingham Forest pada Sabtu ini.