Bekas penjaga gol Manchester United, David de Gea sudah berkira-kira untuk menggantung but sekiranya masih gagal mendapatkan kelab baru.
Akhbar The Guardian melaporkan penjaga gol berusia 32 tahun itu mahu mencari kelab yang memilihnya sebagai penjaga gol utama dan bukan sebagai penjaga gol sokongan.
Penjaga gol Sepanyol itu hanya berminat menyertai kelab yang memburu trofi utama di Eropah dan tidak melihat duit sebagai pendorong utama.
Ini menjelaskan mengapa de Gea menolak beberapa tawaran lumayan dari luar negara termasuk Arab Saudi. Biarpun Cristiano Ronaldo cuba memujuk beliau untuk mengubah pendirian, beliau tegas dengan keputusannya.
Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Real Madrid susulan kecederaan serius yang menimpa penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Bagaimanapun, disebabkan kekangan kewangan, kelab yang dibimbing Carlo Ancelotti itu kemudiannya membawa masuk Kepa Arrizabalaga secara pinjaman dari Chelsea.
De Gea membuat 545 penampilan sepanjang 12 tahun di Old Trafford. Ini menjadikan beliau penjaga gol paling banyak membuat penampilan dalam sejarah United.
Sepanjang 12 tahun tersebut, beliau telah memenangi EPL, Liga Europa, Piala FA dan Piala EFL. De Gea juga pernah memenangi anugerah Sarung Tangan Emas EPL sebanyak dua kali.
De Gea meninggalkan The Red Devils pada 1 Julai selepas tawaran kontrak yang dibuat sebelum ini ditarik balik. Disebabkan perkara itu, beliau tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong.