Bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez akhirnya merekodkan penampilan pertama bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di pentas Asia.
Selepas menyertai JDT sebagai ejen bebas pada 5 Oktober lalu, penyerang berusia 31 tahun itu sibuk membina kembali tahap kecergasannya.
Ini disebabkan Rodriguez sudah lama tidak beraksi di atas padang selepas meninggalkan pasukan lamanya dari Brazil, Coritiba pada Januari 2024.
Faktor ini juga mendorong jurulatih JDT, Hector Bidoglio menurunkan beliau sebagai pemain gantian dalam aksi persahabatan menentang Balestier Khalsa pada 14 Oktober lalu.
Meskipun beliau hanya tampil sebentar di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Rodriguez tidak menghampakan penyokong dengan meledakkan gol pada minit akhir babak kedua. Perlawanan itu berkesudahan dengan kemenangan 8-0 buat Harimau Selatan.
Kini, penantian untuk kemunculan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) berakhir apabila Rodriguez masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-86.
Bekas bintang Stoke City itu masuk bersama Heberty Fernandes menggantikan Jorge Obregon dan Juan Muniz.
Kemasukan beliau tidak dapat menghalang Gwangju daripada meraih kemenangan 3-1 ke atas Harimau Selatan. Dua gol Jasir Asani dan gol sendiri Park Jun-heong memastikan tiga mata milik pasukan Korea Selatan itu.
Sementara gol saguhati JDT dijaringkan bek tengah Harimau Malaya, Feroz Baharudin pada separuh masa pertama.