Pemain kacukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Declan Lambert mengakui sentiasa bersedia jika dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.
Bagi Declan, semua pemain bola sepak sentiasa mendambakan untuk menyarung jersi kebangsaan dalam karier bola sepak mereka.
“Sudah tentu. Saya rasa semua pemain mahu dipanggil ke skuad kebangsaan. Jika mereka panggil saya, saya akan bersedia,” jelas Declan ketika ditemubual Makanbola.
Untuk rekod, Declan Lambert telah mengumpul satu penampilan antarabangsa bersama Malaysia iaitu ketika menentang Thailand dalam Piala Raja Thailand tahun lalu. Malaysia menang menerusi penentuan sepakan penalti.
Musim ini adalah musim yang baik buat Declan apabila diturunkan dalam hampir kesemua perlawanan yang melibatkan KL City. Pemain berusia 25 tahun itu telah beraksi dalam 29 perlawanan dengan berjaya mencetak 1 gol serta menyumbang 2 bantuan gol.
Kemampuan beliau beraksi di kesemua posisi di bahagian pertahanan akan bakal menjadi aset kepada pasukan negara yang bakal beraksi di Piala Asia 2023 Qatar yang dijadualkan Januari depan.
Sering beraksi di posisi pertahanan kiri dan jika namanya terpilih ke skuad kebangsaan, Declan sudah pasti akan bersaing dengan nama-nama besar yang lain di posisi tersebut seperti Corbin Ong dan pemain pinjaman Sabah FC, Daniel Ting.