Penyokong KL City FC berpeluang melihat Ryan dan Declan Lambert kembali menyarung jersi pasukan itu untuk musim 2024-2025.
Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran melaporkan dua pemain tersebut bakal kembali menyertai The City Boys secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
“Ryan Lambert semakin hampir kembali menyertai Kuala Lumpur (City) secara pinjaman. Beliau akan mengikut adik kembarnya, Declan kembali ke bandaraya itu.
“Kedua-dua pemain ini ditandatangani oleh JDT ketika musim baru belum bermula,” katanya di X.
Kehadiran semula Ryan dan Declan dijangka menambah pengalaman dalam pasukan yang dibimbing jurulatih Croatia, Miroslav Kuljanac.
Kedua-duanya masing-masing merekodkan 64 dan 61 penampilan bersama KL City. Ryan membantu The City Boys menjulang Piala Malaysia edisi 2021.
Kedua-duanya turut memastikan pasukan itu mara ke final Piala AFC (2022) dan final Piala FA (2023).
Sekiranya perpindahan ini disahkan, kedua-duanya bakal menjadi pemain terbaru KL City selepas Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, S. Sharvin dan Nick Swirad.