12 pemain Malaysia yang terpilih berlatih bersama kelab Wolverhampton Wanderers bertuah apabila dapat menjejakkan kaki di stadium keramat Manchester United, Old Trafford.
Ini merupakan sebahagian daripada jadual hari kelima program ‘Dare to Dream’ yang dikongsikan Amateur Football League (AFL) di platform media sosial mereka semalam.
Sebelum itu, mereka menjalani sesi latihan terakhir bersama staf kejurulatihan Wolves di pusat latihan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Compton Park.
Sesi tersebut turut mendapat liputan Astro SuperSport dengan pengacara terkenal, Adam Carruthers menemubual 12 pemain berkenaan.
Delegasi ‘Dare to Dream’ kemudiannya dibawa melawat stadium keramat The Red Devils, Old Trafford. Di sini, pemain bukan saja berpeluang meninjau kemudahan stadium milik United itu.
Malah, rombongan ‘Dare to Dream’ turut berpeluang mengabadikan kenangan di Old Trafford dengan bergambar bersama staf United.
12 pemain ini turut berpeluang melawat Muzium Bola Sepak Kebangsaan (England) yang terletak di pusat bandar Manchester.
Muzium ini pada asalnya terletak di Deepdale, Preston, Lancashire sebelum dipindahkan ke lokasi terkininya pada tahun 2012.
Muzium ini mempamerkan pelbagai memorabilia bersejarah bola sepak termasuk koleksi trofi yang dimenangi pasukan-pasukan Inggeris.
Pengalaman yang diraih barisan pemain ‘Dare to Dream’ sepanjang berada di England bakal membantu karier bola sepak mereka pada masa hadapan.