‘Dendam’ Zico Mampu Bawa Malaysia Ke Piala Asia
Blog
Instagram @coach_zico
Advertisements

Sejak perletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya 3 Januari lalu, timbul beberapa nama sebagai pengganti pengendali berasal dari Alor Setar tersebut.

Antara nama yang dikaitkan adalah Bojan Hodak, Brad Maloney, Durakovic dan Kiatisuk Senamuang atau lebih dikenali sebagai Zico.

Di antara nama-nama yang disenaraikan di atas antara yang paling menarik perhatian adalah Kiatisuk Senamuang (Zico) kerana jurulatih berusia 48 tahun ini cukup disegani di rantau Asia Tenggara beberapa tahun lalu.

Advertisements

Thailand berevolusi dengan corak permainan bola sepak moden Asia dan Thailand turut mampu mencabar beberapa kuasa Asia seperti Iraq, Korea Selatan, Arab Saudi dan Australia.

Penguasaan bola yang lebih baik dan kombinasi beberapa pemain muda dan senior dilihat amat baik sehinggakan Thailand menjadi pasukan yang terlalu kuat di rantau Asia Teranggara. Pasukan dikendalikan beliau pada waktu itu dilihat cukup matang dan semakin baik dalam setiap perlawanan.

Namun beliau akhirnya meletakkan jawatan secara mengejut selepas gagal membawa Thailand ke Piala Dunia pada tahun 2017.

Advertisements

Sebahagian penyokong tidak faham mengapa seorang jurulatih tempatan yang cukup baik secara tiba-tiba meletakkan jawatan sehinggalah beliau memaklumkan kepada wartawan bahawa beliau tidak menyukai presiden Thai FA (FAT) pada waktu itu, Somyot Poompanmoung.

Zico Tidak Menyukai Presiden

Selepas Thailand gagal melayakkan diri ke Piala Dunia, Somyot Poompanmoung mengeluarkan kenyataan mengguris hati Zico kepada media;

“Cukupkah untuk kita hanya memenangi Piala AFF dan Sukan SEA?

Advertisements

“Mungkin sesetengah orang tiada masalah dengan itu tetapi pada saya ia memalukan. Saya tidak boleh terima keputusan ini. Sesuatu perlu dilakukan.” Jelas Presiden Thai FA kepada Bangkok Post pada tahun 2017.

Zico jelas tidak gembira dengan cara pihak pengurusan menggunakan media untuk melepaskan amarah lantas beliau membalas;

“Kami kalah tetapi kami memenangi hati peminat. Ianya adalah masalah Presiden FAT dan pihak pengurusan yang menghukum saya (menggunakan media).

Advertisements

“Saya pemain skuad kebangsaan untuk 15 tahun dan jurulatih skuad kebangsaan Thailand untuk 5 tahun dan kesemuanya adalah 20 tahun. Saya tidak pernah fikir untuk meletakkan jawatan. Saya tidak dapat menerima kritikan ini dan saya fikir saya ambil keputusan yang betul (meletakkan jawatan.”

FAT Inginkan Impak Segera

Tiada beza apa yang berlaku di Thailand dan Malaysia, sebahagian ‘orang pengurusan’ inginkan hasil segera dan ia turut berlaku di Thailand.

“Saya sudah beritahu Presiden FAT (Somyot) agar bangunkan pemain muda namun saya tak tahu apa yang dia buat.” Tambah Zico kepada pihak media.

Zico jelas nampak kekurangan Thailand pada waktu itu dan beliau ingin masalah pemain semasa yang meningkat umur dapat diselesaikan dengan pembangunan pemain muda.

Namun beliau ditekan untuk sentiasa memperoleh kemenangan sehinggakan Zico terpaksa menggunakan beberapa pemain senior untuk kekal konsisten. Zico memahami bahawa transisi pemain muda kepada skuad senior amat diperlukan atau tidak akan ada pembangunan skuad untuk jangka masa panjang.

Akira Nishino Terima Nasib Sama

Pengendali dari Jepun sebelum ini, Akira Nishino turut menerima nasib yang sama apabila beliau dipecat sebagai ketua jurulatih selepas gagal membawa Thailand ke Piala Dunia.

Thailand dan Malaysia berada dalam satu kumpulan dan Thailand tewas kepada Malaysia untuk kedua-dua perlawanan.

Perkara yang dilupai oleh pihak pengurusan FAT adalah Akira Nishino menggunakan barisan pemain belasan tahun dan hanya terdapat sedikit pemain yang melebihi umur 23 tahun.

Akira Nishino berjaya menerapkan keyakinan tinggi kepada pemain mudanya dan jika FAT memiliki sedikit kesabaran, pasukan yang sedang dibina Akira Nishino akan menunjukkan hasil dalam beberapa tahun saja lagi.

Akira Nishino menerima nasib yang sama seperti Zico.

Zico Tidak Menolak Spekulasi Menyertai Skuad Harimau Malaya

Jika beliau tidak diterima pihak FAT, sesungguhnya beliau berpeluang untuk membuktikan kemampuannya di Malaysia walaupun menyertai Harimau Malaya bermakna dia menyertai antara musuh utama skuad Thailand itu sendiri iaitu Malaysia.

Zico turut tidak menolak spekulasi kepada wartawan Vietnam apabila beliau dikaitkan ke Malaysia.

“Saya sudah tahu.” Jelas Zico dan beliau senyum tanpa memberikan maklum balas selanjutnya.

Zico Calon Sesuai Kendali Harimau Malaya

Malaysia tidak seperti negara Asia Tenggara lain namun atas beberapa faktor yang tidak dapat dijelaskan (untuk menjaga hati beberapa pihak), skuad kebangsaan Malaysia hanya sesuai dikendalikan oleh jurulatih yang memahami budaya negara ini.

Zico bukan asing di Malaysia kerana selain memahami budaya negara ini, beliau juga pernah bermain bersama Perlis FA pada tahun 1998.

Adalah amat penting buat bakal pengendali Harimau Malaya untuk mempunyai ciri-ciri pemahaman budaya yang tinggi atau Malaysia berdepan risiko untuk gagal sekali lagi jika tidak memahami apa itu erti kesabaran membina sebuah pasukan ‘muda’ yang mantap dan kembali disegani di Asia.

Malaysia turut pernah dilatih jurulatih dari eropah namun kejayaan tidak muncul tiba dan akhirnya Rajagobal dan Tan Cheng Hoe antara yang berjaya memberikan sedikit impak. Mengapa?

Kerana akhirnya, pembangunan akar umbi adalah pokok pangkalnya.

Syafiq Freman, Ikuti di Twitter @syafiqfreman

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram