“Depan Muka Kena” Sumareh Balas Kritikan Sesaat Selepas Itu
MakanBola
ASEAN United FC MY

Mohamadou Sumareh membuktikan ketenangannya apabila berjaya membalas kritikan dengan aksi di atas padang sehingga mencuri perhatian penyokong.

Ketika perlawanan Malaysia vs Laos berlangsung, Sumareh dilihat menerima kritikan daripada sebahagian penyokong susulan dilihat tidak mengejar bola ketika tiada pemain lawan yang mengawasi beliau. Namun, pemain itu tidak mengambil masa lama untuk memberikan respons.

“Sumareh! Kejar bola la,” kata penyokong di laman media sosial milik Referee Kampung.

Beberapa ketika selepas insiden tersebut, Sumareh mempamerkan kualiti sebenarnya apabila berjaya membina gerakan serangan yang mengakibatkan pertahanan Laos, V. Sydavong tertampan bola ke gawang sendiri.

Gol tersebut memberikan jaringan ketiga buat skuad Malaysia pada minit ke-66 aksi.

Aksi itu mengubah suasana di stadium apabila ramai penyokong mula memberikan pujian terhadap sumbangannya dalam gerakan tersebut.

Momen berkenaan turut menjadi bualan di media sosial, dengan ramai menyifatkan Sumareh berjaya menjawab kritikan melalui prestasi di atas padang.

Walaupun kritikan merupakan sebahagian daripada dunia bola sepak, tindakan Sumareh untuk terus fokus sehingga membantu pasukan menghasilkan jaringan dianggap sebagai contoh profesionalisme dan keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri.

Aksi kedua Asean Hyundai Cup 2026 Harimau Malaya berakhir dengan keputusan 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil 3 lagi jaringan pemain Malaysia iaitu Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Wan Kuzain.

Perlawanan seterusnya buat Malaysia adalah menentang jaguh Asia Tenggara, Thailand di Bangkok pada 1 Ogos 2026.