Pengendali pasukan Indonesia Bawah 17 Tahun, Bima Sakti akur dengan kekalahan besar 5-1 kepada Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-17 semalam.
Lebih memilukan, lima gol yang dijaringkan Malaysia hanya dijaringkan pada separuh masa pertama perlawanan dan agak sukar buat Sang Garuda untuk pamer kebangkitan pada separuh masa kedua.
Bima Sakti sedar kesalahan yang beliau lakukan ketika mengatur para pemain ketika perlawanan menentang Malaysia semalam.
Bima berkata, terdapat faktor keletihan yang dirasai para pemain kerana hanya diberi rehat sehari sebelum kembali beraksi. Beliau berkata terdapat kesilapan pada diri beliau sendiri kerana tidak menurunkan pemain seimpanan ketika menentang Guam.
“Pemain mungkin keletihan dan kesilapan saya juga ketika menentang Guam, kami sepatutnya meletakkan barisan kedua,” kata Bima pada sidang media.
“Kami ambil langkah selamat terlebih dahulu, pada separuh masa kedua (menentang Guam) kami hanya menggilirkan empat pemain. Jadi keletihan (menentang Malaysia) juga boleh menjadi punca dan menjadi kesilapan kami,” katanya.
Dalam masa yang sama, Bima turut memohon maaf kepada semua penyokong bola sepak Indonesia di atas kegagalan pasukan kendaliannya mara ke Piala Asia B-17 tahun hadapan.
“Saya memohon maaf kepada semua peminat bola sepak Indonesia atas keputusan yang kurang memuaskan ini dan sememangnya kami kecewa dan sedih,” kata Bima kepada CNN.