Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi menafikan dirinya terlalu selesa di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara ini dinyatakan pemain sayap berusia 24 tahun itu bagi menjawab tohmahan sesetengah pihak bahawa beliau tidak berminat untuk mengembangkan kariernya ke luar negara.
Arif Aiman mengingatkan pihak-pihak berkenaan bukan mudah untuk sampai ke tahap elit. Ini kerana perkara itu bukan saja memerlukan kerja keras tetapi juga pengorbanan.
“Awak tak tahu betapa (sukarnya saya) bergelut dan berkorban untuk saya capai ke tahap ini. Awak jangn buat andaian macam awak tahu diri saya macam mana dan bukan senang untuk saya capai ke tahap di mana saya berada sekarang.
“Kita bercakap kadang-kadang kena fikir dulu sebab awak tak tahu saya dari bawah untuk naik sampai ke tahap ini sangat susah, banyak cabaran yang kamu tak tahu,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Selepas komen tersebut dimuat naik, ramai pengguna platform berkenaan menyatakan sokongan kepada Arif Aiman. Seorang penyokong bernama Azuanabubakar91 melihat bukan senang buat mana-mana pemain berdepan tekanan untuk menembusi skuad utama JDT.
“Mereka ingat senang nak masuk AMD (Akademi Mokhtar Dahari), lepas AMD nak tembus JDT pula,” katanya. Turut senada seorang lagi penyokong bernama Emanlahhhhhni.
Dia melihat sesetengah pihak yang bersuara tidak mengerti halangan-halangan yang perlu ditempuh Arif Aiman untuk menjadi pemain yang dikenali hari ini.
“Mantap Man!! Mereka tak berada dalam kasut kita, mereka tak tahu apa yang kau lalui, teruskan berjuang!!” katanya.
Arif Aiman kini sibuk menjalani pramusim bersama JDT yang bermula sejak beberapa hari lalu.