Pertahanan kental Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco memberi bayangan akan kekal bersama pasukan tersebut sungguhpun spekulasi mengenainya ke Indonesia tular di media sosial.
Pemain berusia 29 tahun itu merupakan antara pertahanan paling konsisten di Liga Super Malaysia dengan kudratnya membantu The City Boys mara ke tiga final dalam tempoh tiga tahun.
Prestasi cemerlang di pentas Piala AFC tahun lalu telah membuka mata beberapa kelab di Asia untuk membawa masuk khidmatnya namun kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada KL City menyebabkan beliau terus kekal.
Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai khabar bahawa bekas jurulatih KL City, Bojan Hodak mahu membawa pemain kelahiran Australia ini ke Persib Bandung di Indonesia.
Spekulasi ini akhirnya berjaya dipadam selepas pemain itu sendiri menyatakan pendiriannya untuk kekal bersama KL City.
“Kelab (KL City) dan Stanley Bernard telah memberi layanan yang terbaik kepada saya. Jadi, saya mahu kelal di sini untuk tempoh yang lebih lama,” ujar Giancarlo kepada MakanBola.
Gandingan beliau bersama pertahanan Croatia, Matko Zirdum berjaya membawa pasukan ke final Piala FA 2023 selain melangkah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia tahun ini.
Kedua-dua pemain ini dikaitkan ke Persib Bandung namun kesefahaman dan hubungann istimewa dalam pasukan KL City kelihatan utuh ketika ini.