Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berharap negara-negara Asia termasuk Malaysia mencontohi kemajuan bola sepak Jepun.
Ini kerana pada hemat beliau, kemajuan bola sepak Jepun cukup ketara dengan ramai pemain negara itu kini beraksi di liga-liga utama Eropah.
Cools mengakui bukan mudah untuk mana-mana negara Asia terutama Malaysia beradaptasi dengan model bola sepak Jepun. Pada masa sama, model tersebut sudah terbukti dengan kejayaan negara itu di peringkat antarabangsa.
“Pada pandangan saya, pakej pemain Jepun sangat menakjubkan. Apabila mereka menunjukkan kemajuan dan belajar semua taktik yang diperlukan, semua memiliki potensi menjadi pemain bagus untuk pasukan atau bermain di Eropah.
“Anda boleh lihat hari ini, ramai pemain Jepun pergi ke Eropah dan menunjukkan potensi mereka kepada skuad kebangsaan. Sudah pasti mereka melakukan sesuatu yang betul.
“Dan negara-negara lain di Asia (terutama Malaysia) kena beradaptasi dengan gaya (bola sepak) mereka. Walaupun bukan mudah, mereka ada asas yang bagus, mentaliti yang bagus dan dengan apa yang berlaku, anda boleh lihat (kemajuan) di sini,” katanya.
Cools berkata demikian dalam satu video dokumentari beliau yang disiarkan di YouTube kelabnya, Cerezo Osaka baru-baru ini.
Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu bukan satu-satunya figura yang mengagumi bola sepak Jepun. Selain Cools, legenda Manchester United, Park Ji-sung turut menyuarakan pandangan sama apabila menilai prestasi skuad kebangsaan Jepun.