Park Ji-sung Akui Jepun Di Tahap Berbeza
MakanBola
AFC/JFA

Legenda Korea Selatan, Park Ji-sung melabel prestasi Jepun dalam Piala Dunia 2026 sangat berbeza berbanding edisi-edisi sebelumnya.

Ini kerana pada pandangan beliau, anak buah Hajime Moriyasu bukan saja tampak tenang dengan status selaku pasukan gergasi Asia.

Malah, 26 pemain yang dibawa untuk kempen Samurai Biru cukup memahami setiap peranan yang diberi bila beraksi di atas padang. Ini ditambah dengan ramai pemain Jepun kini mewarnai saingan bola sepak Eropah.

“(Suasana perlawanan Jepun) terasa sangat berbeza daripada perlawanan Piala Dunia. Suasananya begitu santai sehingga dirasakan seperti perlawanan persahabatan. Setiap pemain jelas memahami peranan mereka dan melaksanakannya dengan cemerlang.

“Kini terdapat hampir 100 pemain Jepun yang bermain di Eropah. Mereka tidak menjadi kuat secara tiba-tiba. Mereka telah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan memperoleh status mereka, satu perkara yang mengagumkan,” katanya seperti dikongsikan akaun J. Football Now.

Ji-sung yang pernah beraksi dalam saingan J-League bersama Kyoto Sanga melihat ini berlaku seiring dengan persiapan rapi yang diatur Jepun sebelum kejohanan bermula.

Atas sebab itu, beliau percaya sukar untuk mana-mana pasukan mengatasi Jepun termasuk Korea Selatan. Ini ditambah dengan Jepun beraksi pada tahap lebih tinggi berbanding pasukan-pasukan Asia lain.

“Hal ini juga menunjukkan bahawa kita mempunyai potensi untuk mencapai pertumbuhan yang serupa. Jepun sudah menunjukkan prestasi seiring dengan persiapan mereka dan telah mengekalkannya dengan sangat baik.

“Sebaliknya, Korea Selatan tidak konsisten dan prestasi mereka sangat berubah-ubah. Ia sesuatu yang mengecewakan kerana Korea Selatan mempunyai ramai pemain berbakat.

“Keadaan masih boleh berubah bergantung pada perlawanan yang akan datang. Tetapi buat masa ini, adil untuk mengatakan bahawa Jepun berada di hadapan (pasukan-pasukan Asia lain),” tambahnya.

Jepun sudah menunjukkan bahawa mereka satu pasukan yang patut dihormati. Selepas mengikat Belanda 2-2, mereka kemudiannya membelasah Tunisia 4-0 baru-baru ini.