Perlawanan kedua Piala Dunia FIFA menyaksikan Jepun menepati ramalan berjaya menewaskan Tunisia dengan jaringan besar.
Ketua jurulatih Tunisia, Herve Renard membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai oleh peledak berbisa, Elias Saad.
Jepun pula hadir dengan momentum terbaik selepas berjaya mengikat Belanda, mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama dengan pemain seperti Ayase Ueda, Ritsu Doan dan Daichi Kamada menjadi taruhan.
Perlawanan di Stadium BBVA, Monterrey menyaksikan pasukan kendalian Hajime Moriyasu berada di depan seawal minit keempat menerusi jaringan daripada perancang tengah, Daichi Kamada.
Percubaan terbaik Tunisia hadir menerusi pemain tengah menyerang, Hannibal Mejbri namun melewati palang gol Jepun.
Peledak berbisa Samurai Biru, Ayase Ueda memberikan kedudukan selesa selepas rembatan kencangnya berjaya menewaskan penjaga gol Tunisia, Aymen Dahmen dari jarak 30 meter pada minit ke-31 permainan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan Jepun mendahului dengan dua jaringan berbalas kosong dari Tunisia.
Bersambung babak kedua, Tunisia tampil agresif untuk mencari jaringan pertama namun terhalang oleh kekebalan benteng pertahanan Jepun.
Percubaan terbaik Jepun hadir menerusi penyerang berbisa, Ayase Ueda namun singgah di bahagian tiang lawan dalam misi jaguh Asia itu mencari jaringan ketiga pasukan.
Derita Tunisia terus berlarutan apabila Junya Ito menambah jaringan ketiga Jepun pada minit ke-69 untuk menjadikan kedudukan 3-0 memihak pasukan ke-18 dunia itu sebelum Ueda meledak gol keempat pada minit ke-84.
Tambahan masa lima minit tidak berjaya dimanfaatkan oleh Tunisia sekali gus menyaksikan kekalahan kedua buat wakil Afrika itu pada edisi Piala Dunia 2026.
Aksi terakhir kumpulan menyaksikan Tunisia bakal menentang Belanda manakala Jepun bakal menghadapi tentangan Sweden, masing-masing pada 26 Jun 2026.