Pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools berharap pasukan itu kekal positif menjelang aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga kumpulan selepas mengharungi tiga perlawanan. Harimau Malaya meraih satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Usaha anak buah Pau Marti Vicente menambah mata dalam Kumpulan A terbantut apabila tewas tipis 1-0 kepada Thailand pada 14 Disember lalu.
Penyerang berdarah Thailand-Sweden, Patrik Gustavsson menceriakan penyokong Thailand di Stadium Rajamangala dengan gol kemenangan pada separuh masa kedua.
Cools mengakui kekalahan tersebut bukanlah sesuatu yang dimahukan Harimau Malaya. Ini kerana barisan pemain negara menunjukkan prestasi terpuji di atas padang.
Pada masa sama, beliau percaya Harimau Malaya mampu bangkit menjelang aksi menentang negara jiran, Singapura pada 20 Disember ini.
“Saya tidak menonton perlawanan itu. Tapi apa yang saya dengar ialah mereka (Harimau Malaya) beraksi dengan baik (dalam perlawanan tersebut). Jadi, ia sesuatu yang malang apabila kita tewas dalam aksi itu.
“Tapi kita cuma perlu tewaskan Singapura dalam aksi (terakhir Kumpulan A). Lepas itu, situasi kita akan jadi baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Cools turut berharap penyokong negara dapat memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya untuk aksi berkenaan.
“Kita tidak kehilangan apa-apa. Kita hanya perlu kekal positif. Kita perlu beri sokongan kepada pasukan kerana kita perlu menyokong mereka bila menentang Singapura,” ujarnya.
Cools tidak menyertai skuad Harimau Malaya ke ASEAN Championship 2024 kerana terikat dengan komitmen bersama juara bertahan Thai League 1, Buriram United.