Pemain Harimau Malaya yang kini berkelana di Liga Czech, Dion Cools mengalami kekalahan pertama sejak hadir ke FK Jablonec awal September lalu.
Jablonec telah tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah FK Pardubice walaupun para pemain Jablonec dilihat menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Gol Pardubice dijaringkan oleh Michal Hlavaty pada minit ke-71 perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, Dion Cools hampir-hampir menjaringkan gol pada minit ke-31 dan minit ke-66 namun sepakannya berjaya ditepis kemas penjaga gawang Pardubice.
Beberapa percubaan merbahaya Jeblonec juga tidak mampu diterjemahkan kepada jaringan. Selepas perlawanan, pengendali Jablonec, Radoslav Kovac akui kecewa dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya.
“”Kami kesal kerana kami tidak menjaringkan gol dan kami tewas. Ia disebabkan oleh prestasi yang kami lakukan. Banyak peluang yang tidak dapat disudahkan. Kami tahu bahawa pasukan tuan rumah akan bermain untuk segala-galanya.
“Hari ini prestasi tidak sama seperti perlawanan sebelumnya. Namun begitu, kami mempunyai peluang yang jelas 100% dan boleh memihak kepada kami . Lawan berjaya membaca permainan kami dan kemudian membuat keputusan. Ia mengecewakan, kami tidak seperti perlawanan sebelum ini,” jelas Kovac.
Jablonec kini berada di tangga ke-8 Liga Fortuna Czech dengan mengumpul 13 mata keseluruhan dan akan meneruskan aksi liga menentang pendahulu, Viktoria Plzen pada 16 Oktober depan.