Advertisement
Dion Cools Layan Peminat Di SSI Sampai Lenguh Bahu
ACL
MakanBola
Buriram United FC

Sifat mesra pertahanan Buriram United, Dion Cool melayani peminat-peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga lenguh bahu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) curi tumpuan ramai.

Buriram hadir ke SSI untuk berdepan JDT dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga tamat aksi.

Pertarungan di antara 2 kelab terbaik Asia Tenggara itu juga telah dicemari dengan 3 layangan kad merah yang diberikan kepada Murillo, Park Jun-heong dan Theerathon Bunmathon.

Setelah aksi di SSI tamat, peminat-peminat JDT berpeluang untuk bersua dengan lebih dekat serta bergambar bersama pertahanan Buriram yang juga kapten Harimau Malaya, Dion Cools.

Satu video yang dimuat naik oleh NorphGun menyaksikan Cools yang hadir ke bahagian tempat duduk penonton dan beramah mesra dengan berswafoto bersama para peminat JDT.

”Dion Cools berswafoto bersama para peminat di seluruh bahagian seksyen di sana sehingga bahu beliau kelihatan lenguh,” tulis NorphGun di laman X.

Sifat ramah Cools melayani setiap permintaan bergambar itu telah mendapat pujian dari para peminat yang kagum dengan semangat tonggak negara itu meskipun baru sahaja selesai beraksi 90 minit.

Dalam aksi tersebut, Cools yang juga bekas pertahanan Club Brugge menerima penilaian tertinggi dalam kalangan pemain Buriram United dengan 7.8 mata menurut laman Sofascore.

Ujian berikutnya untuk Cools dan Buriram adalah melayani kunjungan Ratchaburi di laman sendiri dalam saingan Thai League pada Ahad, 8 Disember ini.