Kapten Harimau Malaya, Dion Cools berpeluang bertemu semula dengan salah seorang bekas rakan sepasukan di kelab lamanya, Buriram United.
Laman sesawang bola sepak rasmi Thailand, Changsuek berkongsi gambar Cools bersama pemain tengah negara itu, Peeradol Chamrasamee.
“Peeradol Chamrasamee bergambar dengan Dion Cools, pemain pertahanan Malaysia dan bekas pemain Buriram selepas bertemu di Hotel Novotel Future Park Rangsit,” katanya di X.
Peeradol dan Cools saling mengenali kerana pernah beraksi bersama Buriram United selama beberapa musim.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu kemudiannya memilih menyertai Port FC pada musim 2024/25. Cools pula berkelana ke Jepun dengan menyertai Cerezo Osaka selepas tamat musim tersebut.
Beliau antara tiga pemain negara yang akan melapor diri apabila Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Thailand. Selain Cools, Daniel Ting dan Sergio Aguero juga akan melapor diri untuk kem sama.
Sepanjang berada di Thailand, skuad negara juga akan mengadakan satu aksi persahabatan tertutup. Thailand dilaporkan antara calon lawan anak buah Peter Cklamovski untuk aksi berkenaan.
Sekiranya perkara itu menjadi kenyataan, Cools dijangka berdepan beberapa rakan lama yang dikenali semasa mewakili Buriram.
Selain Peeradol, jurulatih Gajah Perang, Anthony Hudson turut memanggil Theerathon Bunmathan, Supachai Chaided dan Narubadin Weerawatnodom.