Advertisement
Dion Cools Sedih & Bersalah Cheng Hoe Letak Jawatan
Dunia
MakanBola
FAM

Tonggak utama Harimau Malaya, Dion Johan Cools menganggap keputusan yang dibuat pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe adalah berita yang menyedihkan. Perkara itu diluahkan Dion Cools ketika ditemubual oleh Nadi Arena.

Cools bersimpati dan beliau menjelaskan bahawa dirinya turut mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan skuad negara di kempen Piala AFF tempoh hari.

“Ia satu berita menyedihkan untuk didengari kerana saya fikir, kami sebagai pemain juga perlu menyalahkan diri kami, termasuk diri saya sendiri. Sudah pasti ia sebahagian daripada bola sepak tetapi ia bukanlah hari yang baik untuk berkata seperti itu.”

Cools menjelaskan bahawa beliau sendiri berasa kecewa kerana tidak dapat membantu skuad negara layak ke peringkat separuh akhir. Beliau akui ramai yang mengharapkan kehadirannya ke Singapura ketika itu sebagai nilai tambah buat pasukan.

“Sudah pasti saya kecewa dengan diri saya sendiri kerana saya tiba di sana dengan jangkaan yang besar untuk melayakkan pasukan ke pusingan seterusnya dan melakukan keajaiban tetapi ia tidak berlaku.”

Bintang FC Midtjylland itu turut menegaskan bahawa tidak wajar untuk menyalahkan jurulatih sepenuhnya ketika skuad Harimau Malaya gagal. Ini kerana, pada akhirnya, para pemainlah yang perlu memberi sepenuhnya ketika di dalam padang.

“Jadi, saya amat kecewa dengan diri saya dan pasukan tetapi saya tidak akan pernah menyalahkan jurulatih kerana pada akhirnya, kami yang bermain di atas padang, ujar Dion Cools.