Kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak sabar membantu skuad negara mengharungi kempen FIFA ASEAN Cup dengan cemerlang.
Hasrat itu dizahirkan beliau selepas Cerezo Osaka mengumumkan Cools telah menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan Malaysia untuk kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Bekas pemain Buriram United itu bukan saja menyifatkan panggilan menyertai skuad Harimau Malaya sebagai satu penghormatan.
Malah, ini juga peluang buat beliau dan rakan-rakan sepasukan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Lantas, Cools tidak sabar melakar pencapaian cemerlang dalam edisi sulung FIFA ASEAN Cup sebagai satu pasukan.
“Ia sau penghormatan beraksi untuk skuad kebangsaan Malaysia. Kita tidak mempunyai banyak masa sejak panggilan terakhir kita jadi saya gembira dapat kembali bersatu dengan ramai rakan sepasukan.
“Ini edisi sulung kejohanan (yang disertai) kita, jadi kita tidak sabar untuk melakar keputusan cemerlang sebagai satu pasukan,” katanya di laman sesawang Cerezo.
Cools antara empat pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe. Selain beliau, Cheng Hoe turut memanggil Sergio Aguero (PSM Makassar), Fergus Tierney (PAC Omonia 29M) dan Daniel Ting (Ratchaburi).
Kem kali ini turut menyaksikan kehadiran tiga pemain baharu dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Tiga pemain tersebut ialah Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo.