Tan Cheng Hoe Seru Kudrat 4 Pemain Luar Negara
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil 4 kudrat dari luar negara bagi membantu pasukan negara berjuang di FIFA ASEAN Cup 2026.

Senarai panggilan ke kem latihan pusat Harimau Malaya telah dikeluarkan pada Khamis yang menyaksikan seramai 23 pemain telah dipanggil untuk melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026.

Daripada senarai 23 pemain itu, 4 pemain yang ketika ini sedang berkelana di luar negara telah mempamerkan persembahan memukau hingga khidmat mereka telah diseru oleh pengendali interima Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Fokus pastinya tertumpu kepada kapten Harimau Malaya, Dion Cools yang kini menjadi tonggak utama buat kelab J-League 1, Cerezo Osaka FC untuk mengukuhkan benteng pertahanan negara menjelang kejohanan penting kali ini.

Selain itu, seorang lagi pertahanan negara, Daniel Ting sedang menempuh musim keduanya di Thai League 1 bersama Ratchaburi FC dan kudrat bek kiri berusia 31 tahun ini sudah pastinya ditagih untuk membentuk benteng Malaysia yang ampuh.

Sergio Aguero yang baru menyertai PSM Makassar beberapa minggu lalu turut berada di dalam senarai 23 pemain negara ke FIFA ASEAN Cup dan dijangka bakal memberi pilihan tambahan di jentera tengah skuad Harimau Malaya.

Jentera serangan negara pula akan diperkuat kehadiran penyerang PAC Omonia 29M, Fergus Tierney yang sudah pun membawa impak segera dengan satu bantuan jaringan dalam dua penampilan bersama kelab Cyprus tersebut.

Kem latihan pertama bakal bermula pada Isnin, 22 September sebelum skuad negara dijadualkan terbang ke Indonesia sehari selepas itu untuk membuat persiapan terakhir menjelang perlawanan pertama menentang Bangladesh pada 25 September.

Pada 28 September kemudian, tugasan mencabar menanti Harimau Malaya apabila akan turun bertemu tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno sebelum menutup aksi peringkat kumpulan berdepan Singapura pada 1 Oktober di Bandung.