Baru Debut, Fergus Tierney Terus Sumbang ‘Assist’ Di Liga Cyprus
MakanBola
PAC Omonia 29M

Penyerang Harimau Malaya, Fergus Tierney memulakan kempen di Eropah dengan persembahan hebat bersama PAC Omonia 29M dalam aksi pertama Liga Cyprus.

PAC Omonia 29M merekrut khidmat Fergus Tierney pada pertengahan Jun lalu untuk memperkukuh jentera serangan pasukan setelah kembali ke Liga Divisyen Utama Cyprus susulan kejayaan muncul naib juara Divisyen Dua musim lalu.

Aksi pembukaan Liga Divisyen 1 Cyprus menyaksikan PAC Omonia 29M turun berdepab Krasava ENY di gelanggang lawan dengan Fergus Tierney menjadi pilihan jurulatih, Fangio Buyse untuk memimpin jentera serangan pasukan.

Impak segera berjaya dibawa Fergus Tierney apabila berjaya mencipta satu bantuan jaringan pada minit ke-59 selepas lorongan pemain kebangsaan ini disambar rakan sepasukan, Steve Ambri untuk jaringan ketiga PAC Omonia 29M.

Bantuan gol yang penuh ketenangan itu hadir ketika mana Fergus Tierney memberi tekanan kepada pertahanan lawan sebelum berjaya mencuri bola dan membuat satu lorongan yang mudah untuk ditampan oleh Steve Ambri.

Terdahulu, PAC Omonia 29M sudah pun mendahului perlawanan dengan kedudukan 2-0 hasil satu lagi jaringan Steve Ambri pada minit ke-28 dan tandukan deras Dimitris Chantakias yang menghasilkan gol kedua di minit ke-50.

Kemenangan 3-0 ini meletakkan PAC Omonia 29M di tangga teratas liga untuk sementara waktu dan bantuan jaringan yang dicipta oleh Fergus ini bakal menjadi suntikan semangat buat penyerang muda ini untuk bermain lebih cemerlang.