Kualiti Dion Cools Jadi Sorotan Di Liga Jepun
MakanBola
Cerezo Osaka

‘Orang besi’ Harimau Malaya, Dion Cools terus cemerlang di bumi Jepun bersama kelabnya, Cerezo Osaka.

Semakan di Sofascore menyaksikan beliau kini sudah merekodkan lebih tujuh mata untuk tiga perlawanan berturut-turut J-League 1. Terbaru, Cools merekodkan markah 7.4 dalam aksi Cerezo menentang Tokyo Verdy.

Meskipun anak buah Pablo Machin terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat 0-0 oleh pelawat, bekas pemain Buriram United itu kekal konsisten di bahagian pertahanan.

Gandingan Cools bersama Rikito Inoue dan Shinnosuke Hatenaka memastikan gawang Cerezo tidak dibolosi buat kali ketiga dalam enam perlawanan liga setakat ini.

Malah, Cerezo turut memaklumkan pemain berusia 30 tahun itu merekodkan terjahan tertinggi sepanjang perlawanan dengan terjahan sebanyak tujuh kali.

Cools turut memenangi pertarungan merebut bola di udara sebanyak tiga kali dan membuat hantaran tepat sebanyak 87%. Beliau turut berlari dengan meliputi jarak 10.8 kilometer (km) dan merekodkan kelajuan tertinggi 33.5 km/j.

Sentuhan Cools dijangka ditagih Cerezo untuk aksi liga seterusnya menentang Sanfrecce Hiroshima pada 12 September.