Asia

Gangwon Tempang Sebelum Jumpa Kuching City

Gangwon FC Gangwon Tempang Sebelum Jumpa Kuching City
Gangwon FC
Advertisements

Kelab Korea Selatan, Gangwon FC menerima tamparan hebat apabila kehilangan dua tonggak menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Kuching City.

Portal Chosun melaporkan pasukan yang dibimbing Chung Kyung-ho itu hilang dua tonggak iaitu Mo Jae-hyeon and Hwang Mun-ki akibat kecederaan.

Kedua-duanya mengalami kecederaan dalam aksi terbaru K-League 1 antara Gangwon dan FC Seoul yang berlangsung pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan. Meskipun seri, itu sudah cukup buat FC Seoul muncul juara K-League 1 musim ini.

Kyung-ho mengakui kecederaan yang menimpa dua pemain tersebut bakal merencatkan perancangannya untuk menghadapi baki kempen liga dan ACL2.

“Mujur Mo Jae-hyeon mengalami lebam yang teruk tetapi tidak mengalami keretakan tulang. Hwang Mun-ki pula disyaki mengalami keretakan tulang dan perlu segera dibawa ke hospital,” katanya.

“Beliau mungkin memerlukan pembedahan. Beliau baru sahaja kembali daripada menjalani khidmat tentera dan telah menyuntik semangat positif ke dalam pasukan. Sejujurnya, kekecewaan terbesar hari ini ialah masalah kecederaan yang dialami mereka.

Kekuatan pemain sokongan skuad Gangwon tidak begitu kukuh. Kehilangan pemain mewujudkan kesukaran (buat pasukan). Namun begitu, sebagai pengurus, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk baki musim ini.”

Jae-hyeon menyumbang tiga gol dan mencipta lima bantuan gol dalam 27 penampilan liga bersama Gangwon. Mun-ki pula menunjukkan prestasi mantap sebagai bek kanan dalam tiga aksi liga terakhir pasukan itu.

Gangwon berharap dapat meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan H ACL2. Sebelum ini, mereka meraih keputusan seri sekali dan tewas sekali.

Anak buah Kyung-ho berharap mereka tidak tewas lagi di gelanggang sendiri di pentas Asia. Ini kerana Phnom Penh Crown mencipta kejutan dengan menewaskan Gangwon 2-1.