Ramai peminat Sri Pahang FC tertanya-tanya tentang kedudukan terkini Dato’ Dollah Salleh sebagai pengurus pasukan itu.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang (PBMPP) mengumumkan perlantikan legenda bola sepak Malaysia itu sebagai jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Pulau Pinang pada 8 Julai lalu.
PERR ialah pertandingan bola sepak tahunan berprestij membabitkan pasukan-pasukan negeri di Malaysia. Kejohanan ini diasaskan pada tahun 1922 dengan Kedah sebagai juara edisi pertama PERR.
Pulau Pinang mengharapkan sentuhan Dollah dapat mengakhiri kemarau kejuaraan pasukan itu sejak tahun 2017. Gelaran juara PERR ketika ini dipegang Pahang selepas membelasah Terengganu 4-1 dalam aksi final 2023.
“Mengumumkan ketua jurulatih skuad Piala Emas Raja-Raja Pulau Pinang musim 2024. Siap sedia anak muda Pulau Pinang. Nantikan sesi pemilihan pemain yang bakal diumumkan,” kata PBMPP dalam satu kenyataan.
Sepanjang bergelar jurulatih, beliau pernah menjulang Piala Malaysia, Piala FA, Liga Perdana dan Piala Sumbangsih. Dollah pernah melatih Sri Pahang, Selangor FC, MPPJ Selangor, Shahzan Muda dan Harimau Malaya.
Sebaik pengumuman PBMPP dimuat naik ke media sosial, ramai peminat bola sepak yang terkejut tetapi gembira melihat Dollah mengendalikan skuad Pulau Pinang.
Berita ini muncul tatkala Sri Pahang dilanda khabar angin bahawa bintang import mereka dari Uzbekistan, Kuvondik Ruziev dilaporkan bakal meninggalkan kelab itu.