Coutinho Bawa Haluan Ke Penang
MakanBola
Penang FC

Penang FC menambah ketajaman jentera serangan mereka dengan merekrut penyerang Brazil, Douglas Coutinho.

Penyerang berusia 31 tahun itu menyertai Sang Harimau Kumbang secara pinjaman dari kelab Indonesia, Borneo FC.

“Penang FC dengan bangga memperkenalkan penyerang dari Brazil, Douglas Coutinho, yang menyertai pasukan secara pinjaman dari Borneo FC Samarinda bagi memperkuatkan barisan serangan Harimau Kumbang musim ini.

“Coutinho memiliki pengalaman luas di peringkat profesional selepas memulakan kerjaya bersama akademi Cruzeiro dan Atlético Paranaense, serta pernah beraksi di beberapa liga antarabangsa termasuk Brazil, Korea Selatan, Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Sepanjang kariernya, beliau telah mencatat lebih 190 penampilan liga profesional dan menyumbang puluhan gol di peringkat kelab,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Coutinho bukan asing beraksi di benua Asia. Selain Borneo FC, bekas penyerang Fortaleza itu pernah beraksi untuk Seoul E-Land, Fujairah SC, Thep Xanh Nam Dinh dan Khatoco Khanh Hoa.

Coutinho mampu beraksi bukan saja sebagai penyerang tetapi juga sebagai pemain sayap jika diperlukan.

Penyerang Brazil itu menyertai rakan senegara, Erick Brendon, pemain pertahanan Filipina, Amirul Kamil Jaser dan Nur Shamie Iszuan Amin sebagai rekrut baharu Penang.