Dua Pemain KL City Ancaman Terbesar Terengganu
MakanBola
KL City FC

Pemain pertahanan kebangsaan, Ubaidullah Shamsul Fazili melihat dua pemain Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sebagai ancaman buat pasukannya, Terengganu FC.

Dua pemain yang dimaksudkan ialah pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid dan pemain perancang Sepanyol, Victor Ruiz.

Ubaidullah melihat dua pemain ini perlu dihalang jika Terengganu ingin mencipta kemenangan ke atas The City Boys musim ini.

“Saya rasa pemain KL City (yang perlu disekat Terengganu) ialah Safawi dan Victor Ruiz,” katanya.

Selain menyekat dua pemain tersebut, Ubaidullah turut melihat Terengganu perlu memperketatkan kawalan di bahagian pertahanan.

Ini kerana pada hemat pemenang pingat gangsa Sukan SEA itu, ini dilihat kunci jika Terengganu mahu meraih tiga mata penuh.

“Bagi saya, sudah tentu kita banyak bolos sejak kebelakangan ini. Sebagai pemain dan pasukan, kita cuba lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Untuk perlawanan seterusnya, kita akan tambah baik, cuba bertahan dan elak dibolosi terutama pada minit akhir,” ujarnya.

Untuk rekod, KL City masih belum tewas kepada Peteh dalam empat aksi terakhir mereka. Ini termasuk kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.

Terengganu bakal turun menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Jumaat.