Dua Pilihan Stadium Harimau Malaya Di ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
Selangor FC

Dua stadium bakal menjadi pilihan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan ASEAN Hyundai Cup.

Dua stadium tersebut ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di X.

Dua stadium ini menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana stadium keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan untuk kejohanan tersebut.

Ini kerana SNBJ atau nama baharunya, TM Stadium Nasional bakal menjalani proses penyelenggaraan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras jadi pilihan untuk Piala ASEAN susulan gelanggang rasmi Harimau Malaya, Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak dapat digunakan kerana proses penyelenggaraan sempena persiapan temasya Sukan SEA 2027,” katanya.

Pemilihan kedua-dua stadium ini tidak akan menjadi isu buat anak buah Peter Cklamovski. Ini kerana kedua-dua stadium pernah menjadi gelanggang Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur juga bukan asing sebagai gelanggang saingan ASEAN Hyundai Cup. Stadium itu pernah menjadi venue aksi peringkat kumpulan edisi 2004, 2018 dan 2022.