Peminat badminton Malaysia yang ingin menyaksikan saingan Badminton Asia Mixed Team Championship (BAMTC) 2025 mendapat berita baik.
Ini kerana Astro dan TV Sarawak (TVS) bakal menjadi penyiar rasmi kejohanan itu. Sebelum ini, Badminton Asia mengumumkan Astro sebagai penyiar rasmi kejohanan di Malaysia.
Tidak lama selepas itu, TVS mengumumkan mereka menjadi penyiar rasmi BAMTC. Pengumuman tersebut disiarkan di platform media sosial rasmi stesen televisyen Sarawak itu.
“Kali ini, peminat sukan badminton berpeluang menyaksikan Badminton Asia Mixed Team Championship 2025 secara langsung dan eksklusif hanya di saluran 122 menerusi kaca televisyen masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Berita ini bakal memberi kelegaan kepada peminat badminton negara yang ingin melihat kem Malaysia beraksi dalam kejohanan itu secara percuma.
Kontinjen negara diketuai beregu campuran nombor empat dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai. Selain itu, kontinjen ini turut disertai juara Indonesia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Kontinjen Malaysia ke BAMTC telah bertolak ke Qingdao, China hari ini. Saingan BAMTC bakal membuka tirainya pada 11 Februari ini.