Dua tonggak Kuching City FC di bahagian pertahanan, Yuki Tanigawa dan James Okwuosa menunjukkan statistik memukau dalam liga musim 2024/25.
Ini selepas Astro Arena menyiarkan beberapa statistik menarik dalam empat perlawanan awal liga. Nama dua tonggak import ini cukup menonjol dari segi hantaran tepat.
Tanigawa, 27, mengetuai carta hantaran tepat dengan melakukan 223 hantaran. Sementara Okwuosa, 33, pula berkongsi tangga kedua dengan pemain kebangsaan, Syamer Kutty Abba dengan melakukan 192 hantaran tepat.
Hantaran tepat yang dilakukan dua bek tengah itu membantu The Cats kerap melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan lawan.
Keadaan ini membolehkan Kuching City berupaya mengikat KL City FC dan Terengganu FC dalam liga. Resepi sama turut digunakan anak buah Aidil Sharin Sahak untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2024.
Kelebihan ini turut membantu barisan serangan Kuching City menambah bilangan gol mereka untuk musim 2024/25. Musim ini menyaksikan The Cats sudah merekodkan lima gol dalam empat perlawanan awal liga.
Sekiranya Kuching City kekal konsisten dalam menambah baik bilangan gol musim ini, tidak mustahil jumlah 24 gol yang direkodkan pada musim 2023 boleh diatasi.
The Cats bakal turun menentang PDRM FC untuk aksi terbaru liga di Stadium Negeri, Kuching pada 12 Julai ini.