Pemain tengah Croatia, Duje Ljubic sah menjadi tonggak import terbaru Sabah FC.
Perpindahan pemain tengah berusia 24 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Badak dalam satu kenyataan.
“Selamat datang ke Negeri di Bawah Bayu, Duje! Duje Ljubic merupakan pemain tengah dari Croatia, lahir pada tahun 2001.
“Sebelum ini bersama NK Hrvace, kini melangkah ke fasa baharu bersama Sang Badak untuk terus berkembang dan membina masa depan. Sekali lagi, selamat bergabung dalam keluarga Sabah FC, Duje!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran bekas pemain remaja RNK Split itu dilihat mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin.
Stuart memilih menyertai pasukan lamanya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Super.
Selain beraksi sebagai pemain tengah menyerang, Ljubic juga mampu beraksi sebagai pemain tengah atau pemain tengah bertahan jika diperlukan. Beliau akan menyarung jersi nombor 22.
Ljubic menjadi tonggak import terbaru Sabah selepas Ernesto Phumipha dan penyerang Haiti, Kervens Belfort.
Kehadiran tiga tonggak ini ditagih bagi membantu Sabah mengharungi baki musim 2025/26 termasuk saingan MFL Challenge Cup.