Kem Selangor menerima berita kurang enak dalam tempoh 24 jam.
Kehampaan buat pasukan Selangor apabila terlepas peluang untuk beraksi di pentas AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan setelah mengakhiri Liga Super di tempat ke-3.
Meskipun menang 6-0 ke atas PDRM di perlawanan terakhir, namun kejayaan Kuching City menewaskan KL City 1-0 telah memusnahkan misi Selangor untuk ke pentas Asia sekali lagi.
Dalam hari yang sama juga, pasukan feeder iaitu Selangor II terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata dengan JDT II setelah tumpas di tangan Perak FA di Stadium UiTM, Shah Alam.
Rahman Daud berjaya meletakkan Selangor II di hadapan namun dua jaringan Perak FA di penghujung aksi buatkan tuan rumah berputih mata untuk mengutip 3 mata penuh berharga.
Kini, pendahulu Liga A1 Semi-Pro, JDT II memiliki peluang terbaik bagi menjarakkan jurang kepada 6 mata sekiranya berjaya menewaskan Kelantan WTS di Kota Bharu malam ini.
Dengan hanya berbaki satu lagi perlawanan Liga A1, harapan Selangor II untuk menjulang trofi tersebut dilihat samar gara-gara kekalahan 1-2 kepada Perak FA dan JDT II pada minggu lalu.