Kuching City Naib Juara Liga Super, Selangor Gagal Misi ke Asia
MakanBola
SELANGOR FC

Kuching City FC disahkan sebagai naib juara Liga Super 2025/26 selepas menewaskan KL City 1-0 di Stadium Negeri malam ini, sekali gus mengunci slot ke pentas AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.

The Cats menutup kempen liga mereka dengan 53 mata dari 24 perlawanan, satu mata mengatasi Selangor FC yang berada di tempat ketiga dengan 52 mata.

Selangor pula menumpaskan PDRM 6-0 di Stadium MBPJ pada masa yang sama, tetapi kemenangan besar itu tidak memberi sebarang manfaat apabila Kuching City turut meraih tiga mata penuh malam ini. Nasib Selangor sudah pun tertutup sebaik Kuching City menyempurnakan kemenangan mereka di Sarawak.

Rekod akhir Kuching City, 16 menang, 5 seri dan 3 kalah, sedikit lebih baik berbanding Selangor yang mencatatkan 16 menang, 4 seri dan 4 kalah sepanjang musim ini. Itulah perbezaan yang akhirnya memisahkan kedua-dua pasukan.

Bagi Selangor, ini bukan kali pertama mereka terpinggir dari pentas Asia di saat-saat akhir. Pasukan yang memasuki musim ini sebagai naib juara dan wakil Malaysia ke ACL2 musim lalu gagal mempertahankan kedudukan yang sama dalam edisi kali ini, walaupun mempunyai skuad dan sumber yang tidak kurang hebatnya.

Yang lebih memilukan buat penyokong Gergasi Merah, pasukan yang mengambil tempat mereka ialah Kuching City, sebuah kelab yang masih baharu di pentas tertinggi Liga-M ini. Bukan sahaja di liga, Kuching City turut menyingkirkan Selangor dalam separuh akhir Piala Malaysia musim ini sebelum melangkah ke final menentang JDT pada 23 Mei di Stadium Bukit Jalil.

Kejayaan berganda Kuching City di bawah jurulatih Aidil Sharin Sahak, naib juara liga dan finalis Piala Malaysia dalam satu musim yang sama, membuktikan pasukan ini bukan lagi sekadar pengganggu. Mereka adalah pesaing sebenar.

Sementara itu, JDT menutup musim dengan rekod hampir sempurna, 23 menang, 1 seri dan tiada kekalahan, dengan 70 mata dan 117 gol sepanjang musim. Gelaran juara Liga Super musim ini tidak pernah menjadi persoalan sejak awal.