Kelab dari Pantai Timur, Kelantan Darul Naim (Kelantan DN) bakal menerima sentuhan istimewa bekas jurulatih pasukan kebangsaan, E. Elavarasan.
Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan pada Jumaat dengan misi untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan seperti dahulu.
”Kelantan serius mahu kembalikan kegemilangan bola sepak. Jurulatih kebangsaan dan UEFA (bakal) menggalas tugas,” kata Annuar Musa di laman Facebook.
“Tahniah pada pasukan tunggal Kelantan Darul Naim yang akan beraksi di Liga Super 2025-2026.”
Beliau yang pernah bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) suatu ketika dahulu mengucapkan selamat datang kepada E. Elavarasan dan Muammet Salibasic yang bakal bersama membimbing Kelantan DN.
“Selamat datang Jurulatih Kebangsaan, E. Elavarasan dan Jurulatih Antarabangsa UEFA, Muammer Salibasic yang akan berganding bahu melatih Kelantan Darul Naim,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, Kelantan DN juga akan dieprkuatkan dengan kehadiran import berstatus tonggak kebangsaan dari negara di Asia Tenggara selain pemain dari benua Asia dan Afrika.
“Beberapa pemain kebangsaan negara ASEAN, Asia dan Afrika sudah diikat utk membentuk pasukan berwajah baru Kelantan Darul Naim,” tambahnya lagi yang pernah meraih kejuaraan treble bersama Kelantan pada tahun 2012.
Sehingga artikel ini diterbitkan, masih belum ada pengesahan rasmi dari pihak pengurusan Kelantan DN tentang pelantikan E. Elavarasan dan Muammer Salibasic yang akan mengemudi Sang Kijang Emas.
Nama E. Elavarasan tak perlu diperkenalkan lagi oleh kerana pengendali berusia 60 tahun ini memiliki pengalaman hebat dalam melatih kelab di Malaysia seperti Terengganu, Felda United dan PDRM.
Malah, E. Elavarasan juga pernah bergelar penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya ketika di bawah kendalian Kim Pan-gon selain melatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan juga.
Manakala Muammer Salibasic yang pernah menyarung jersi Sarawak suatu ketika dahulu memiliki pengalaman melatih pasukan-pasukan di Liga Bosnia seperti HNK Tomislav.