Advertisement
E. Elavarasan: Skuad B-22 Malaysia Bersedia Mendepani Cabaran
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Selepas undian penentuan kumpulan acara bola sepak Sukan SEA 2023 dibuat, Malaysia berdepan kesukaran kerana ditempatkan bersama juara bertahan, Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan B. Tetapi bagi jurulatih skuad B-22 negara, E. Elavarasan, itu bukan alasan untuk tidak memberi yang terbaik.

Selain Malaysia, Thailand dan Vietnam, pasukan lain dalam Kumpulan B ialah Singapura dan Laos. Skuad B-22 Vietnam yang dibimbing Philippe Troussier pastinya mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada tahun lepas.

Sementara Thailand yang dijangka turun tanpa khidmat Suphanat Mueanta sudah pasti memburu pingat emas selepas dikecewakan skuad Naga Emas dalam edisi Sukan SEA yang lalu. Di sebalik semua ini, Elavarasan percaya anak-anak buahnya mampu mengatasi cabaran dua pasukan ini dan merealisasikan matlamat layak ke final.

“Satu undian yang menarik dan mencabar dalam masa yang sama selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.

“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian tersebut, saya kekal optimis bahawa skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan-pasukan lain di mana kami juga memiliki keyakinan untuk turun dalam kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja nanti.

“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” katanya bila dihubungi media.

Kali terakhir Malaysia menjulang pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah dalam edisi Sukan SEA 2011 di Indonesia. Justeru, ada yang berharap dengan matlamat layak ke final, skuad B-22 semakin hampir menamatkan kemarau pingat emas negara.

Sepak mula acara bola sepak bakal bermula pada 29 April ini. Sementara aksi final dijadual akan berlangsung pada 16 Mei.