Ejen kepada jurulatih Kelantan, Frank Bernhardt iaitu Sherif Ahmed Mostafa meminta semua penyokong pasukan Kelantan FC supaya bersabar walaupun sedar kekalahan 0-5 kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) semalam memeritkan.
Sherif berkata jendela perpindahan pemain yang akan dibuka pada bulan Julai akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa masuk pemain-pemain berkualiti ke pasukan Kelantan. Jadi, penyokong Kelantan diharap bersabar menempuhi perlawanan mendatang sehingga jendela perpindahan dibuka.
“Sangat-sangat menyedihkan melihat ini (kekalahan 0-5 Kelantan kepada Kedah) tetapi jendela kedua perpindahan akan menyaksikan kelainan yang berlaku pada Kelantan FC. Diharapkan semua pihak dapat bersabar dalam menempuhi perlawanan-perlawanan seterusnya,” luah Sherif di laman instagram miliknya sebentar tadi.
Dijangkakan akan ada rombakan besar-besaran yang akan berlaku kepada pasukan Kelantan FC pada jendela perpindahan pemain yang bakal dibuka Julai ini. Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sebelum ini juga ada memberi bayangan akan membawa masuk ramai pemain bertaraf Liga Super dan memngeluarkan pemain yang kurang efektif.
Kelantan kini berada di tangga kedua tercorot dengan mengumpul empat mata selepas melalui 11 perlawanan liga. Lebih memeritkan, Kelantan juga merupakan pasukan yang paling banyak melepaskan gol selepas dibolosi sebanyak 39 gol.