Penantian pemain tengah kebangsaan, Endrick dos Santos meraih gol sulung bersama Harimau Malaya berakhir pada 31 Mac lalu.
Sepakan penalti beliau dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam merupakan gol pertamanya buat Malaysia dalam 25 penampilan.
Lebih menarik, Endrick juga menjadi pemain berdarah Brazil ketiga yang menjaringkan gol bersama Harimau Malaya. Fakta ini dikongsikan HarimauMYstats di X.
Beliau mengikut jejak kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue dan bekas penyerang Selangor FC, Guilherme de Paula.
Apabila ditanya tentang gol tersebut, Endrick mengakui merasa gembira kerana akhirnya dapat menjaringkan gol bersama Harimau Malaya.
“Ini gol pertama saya untuk skuad kebangsaan (Malaysia) dan di sini di negara di mana saya bermain.
“Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat semua penyokong Vietnam dan Malaysia atas sokongan kepada bola sepak (kedua-dua negara),” katanya selepas perlawanan seperti dilaporkan Astro Arena.
Gol tersebut dijangka membakar semangat Endrick untuk terus menyumbang bakti bersama Harimau Malaya selepas ini.
Perlawanan Vietnam menentang Malaysia di Nam Dinh menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan 3-1.