Jurulatih Itali, Enzo Maresca mengambil keputusan untuk meninggalkan Chelsea. Berita tersebut dikongsikan wartawan terkenal, Fabrizio Romano.
Chelsea memaklumkan kelab dan Maresca melihat perubahan jurulatih sebagai kunci jika ingin mencapai sasaran dalam empat kejohanan musim ini.
“Dengan objektif utama masih lagi terbuka dalam empat pertandingan termasuk kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL), kelab dan Enzo percaya perubahan memberi peluang kepada pasukan kembali berada di landasan tepat,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Maresca dijangka menerima pampasan lumayan daripada Chelsea. Ini kerana bekas pengurus Leicester City itu masih memiliki baki kontrak sehingga 2029.
Sepanjang bersama Chelsea, Maresca membantu kelab itu muncul juara Liga Konferens Europa UEFA (UECL) dan Piala Dunia Kelab.
Siri keputusan yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada pemergian Maresca.
Jurulatih berusia 45 tahun itu juga dilaporkan tidak sehaluan dengan pengurusan Chelsea terutama dari segi hala tuju kelab.
Chelsea dilihat hilang sabar apabila Maresca enggan memenuhi komitmen media selepas aksi menentang Bournemouth baru-baru ini.
Bekas jeneral tengah Sevilla itu menghantar pembantu beliau, Willy Caballero sebagai pengganti. Apabila ditanya tentang ketiadaan Maresca, Caballero memaklumkan jurulatih Itali itu merasa kurang sihat.
Situasi ini menyaksikan The Blues berharap dapat membawa Liam Rosenior sebagai pengganti jangka panjang. Walau bagaimanapun, itu bergantung kepada kelabnya, Strasbourg untuk mencari pengganti.
Situasi ini turut membuka ruang buat Maresca untuk kembali ke Stadium Etihad sebagai pengganti pengurus Manchester City, Pep Guardiola.
Ramai penyokong menjangkakan musim 2025/26 sebagai musim terakhir jurulatih Sepanyol itu di Stadium Etihad. Lantaran itu, beberapa nama dicanang sebagai bakal pengganti.
Maresca bukan asing kerana pernah menjadi pembantu Guardiola dari 2022 hingga 2023. Selain beliau, nama jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso turut menjadi sebutan.