Advertising
EPL: Arsenal Makin Tercicir, Diikat Aston Villa
EPL
MakanBola
Arsenal

Aston Villa terus menggugat usaha Arsenal untuk memburu pendahulu liga, Liverpool apabila mengikat pasukan itu 2-2 di Stadium Emirates.

The Gunners kembali mendapat keyakinan apabila menewaskan musuh tradisi, Tottenham Hotspur. The Villains pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Everton 1-0.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta meletakkan Jurrien Timber sebagai bek tengah menggantikan William Saliba yang kurang cergas. Ollie Watkins menjadi sandaran gol pengendali Villa, Unai Emery.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Emirates.

The Gunners hampir berada di hadapan seawal minit ketiga menerusi Gabriel Martinelli. Malangnya, usahanya untuk menembusi gawang The Villains digagalkan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Ad
Ad

Villa juga hampir mencuri gol pendahuluan menerusi Watkins pada minit ke-33. Selepas berjaya merampas bola daripada Thomas Partey, penyerang England itu mengesan David Raya berada di luar garisan gol.

Ad

Hal ini mendorong Watkins cuba melambungkan bola ke arah gawang tuan rumah. Partey bernasib baik kerana percubaan bekas penyerang Brentford itu melepasi palang gol.

Dua minit selepas itu, The Gunners mendahului menerusi Martinelli. Meskipun Martinez cuba menolak bola keluar, teknologi garisan gol mengesahkan gol berkenaan.

Tersentak, Aston Villa melancarkan serangan untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi tidak berhasil. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Emery memasukkan bekas bek kiri Everton, Lucas Digne sebagai pengganti graduan akademi Chelsea, Ian Maatsen.

Kai Havertz hampir menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-48. Malangnya, tandukan bekas bintang Chelsea itu tidak mengenai sasaran.

Havertz menebus kesilapannya tujuh minit selepas itu. Beliau pantas menolak bola hantaran Leandro Trossard melepasi Martinez bagi menjadikan kedudukan semasa 2-0 buat Arsenal.

Permainan makin rancak apabila Youri Tielemans merapatkan jurang buat The Villains pada minit ke-60. Bekas bintang Leicester City itu menanduk hantaran deras Digne yang menewaskan Raya.

Gol penyamaan yang dicari anak buah Emery muncul lapan minit selepas itu. Kerapuhan benteng Arsenal dihukum Watkins untuk meledakkan gol ke-10 dalam liga musim ini.

Havertz menyangka telah menjaringkan gol kemenangan buat Arsenal pada minit ke-88. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana VAR mengesan bola terkena tangan beliau semasa menjaringkan gol.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Sofascore memilih Trossard sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4.

Keputusan ini menyaksikan The Gunners mengumpul 44 mata, enam mata di belakang Liverpool. The Villains pula terus menghambat kelompok empat teratas di tangga keenam dengan 36 mata.

Kedua-dua pasukan bakal kembali meneruskan saingan dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Villa dan Arsenal masing-masing bakal bertemu AS Monaco dan Dinamo Zagreb pada 22 dan 23 Januari ini.