Chelsea akhirnya berjaya meraih kemenangan sulung EPL musim ini selepas mencuba buat kali ketiga. Mereka menewaskan musuh setempat, Luton Town dalam aksi derby London di Stamford Bridge.
Selepas dimalukan 3-1 oleh juara Europa Conference League (ECL) musim lepas, West Ham United di Stadium London pada Ahad lepas, The Blues tidak mahu kisah duka sama berulang di gelanggang keramat mereka.
Dengan pendatang baru EPL, Luton masih mencari rentak dalam liga, Chelsea tampil garang dalam babak pertama. Peluang terbaik mereka hadir pada minit kesembilan menerusi Raheem Sterling tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Thomas Kaminski.
Kesungguhan The Blues akhirnya berhasil apabila Sterling menyumbat gol pertama perlawanan pada minit ke-17.
Bekas pemain sayap Manchester City itu membuat larian yang menewaskan beberapa pemain The Hatters sebelum menewaskan Kaminski. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Luton bernasib baik apabila mereka tidak dikenakan sepakan penalti. Ulang tayang menunjukkan pertahanan pelawat menarik baju bek tengah Brazil, Thiago Silva dalam kotak penalti sebelum percubaan Chelsea berjaya disekat Kaminski.
The Blues hampir mendapat gol kedua pada minit ke-50 menerusi Ben Chilwell. Bagaimanapun, keputusannya untuk menghantar bola kepada Sterling daripada menguji Kaminski langsung tidak membuahkan hasil.
Percubaan terbaik Luton hadir pada minit ke-60 menerusi pemain rekod perpindahan termahal mereka, Ryan Giles. Malangnya, percubaannya berjaya ditangkap selesa oleh penjaga gol Robert Sanchez.
Kegagalan menyempurnakan peluang tersebut dihukum tuan rumah menerusi gol kedua Sterling pada minit ke-68 selepas menerima hantaran Mala Gusto.
Nicolas Jackson memastikan kemenangan tuan rumah menerusi gol sulungnya dalam EPL pada minit ke-73.
Kemenangan ini melonjakkan The Blues ke tangga kesembilan liga dengan sembilan mata. Manakala The Hatters pula kekal di tangga ke-18 tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Luton bakal menjadi tuan rumah perlawanan EPL buat kali pertama selepas Kenilworth Road selesai menjalani proses penambahbaikan. Mereka akan menjadi tuan rumah kepada West Ham pada 2 September.
Manakala Chelsea berharap dapat meneruskan momentum positif ini dengan meraih kemenangan ke atas Nottingham Forest pada hari yang sama.