Tiga gol pada separuh masa kedua sudah cukup membantu Brentford menghadiahkan kekalahan kedua buat Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Selepas diikat 2-2 dengan Hull City dalam aksi liga sebelumnya, anak buah Xabi Alonso bertekad untuk bangkit dan kembali mendapatkan rentak kemenangan. Meskipun begitu, Brentford menjanjikan cabaran berbeza kerana masih belum tewas dalam semua kejohanan setakat ini.
Bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson membuat penampilan pertama bersama The Blues sejak menyertai kelab itu secara percuma dari Brentford. Penyerang Brazil, Igor Thiago menjadi sandaran gol pengurus The Bees, Keith Andrews.
Chelsea hampir membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi Pedro Neto. Walau bagaimanapun, percubaan bekas bintang Wolves itu dinafikan penjaga gol tuan rumah, Caoimhin Kelleher.
Formasi 3-4-2-1 yang digunakan Alonso memaksa Brentford menunggu sehingga minit ke-37 untuk menguji penjaga gol Chelsea, Emiliano Martinez menerusi Yehor Yarmoliuk. Malangnya, percubaan beliau mudah diselamatkan penjaga gol Argentina itu.
Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol pembukaan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Brentford yang beraksi di Stadium Komuniti Gtech terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan pendahuluan.
Akhirnya selepas 61 minit, gawang Chelsea akhirnya bocor. Bekas bintang Burnley, Jaidon Anthony menceriakan kem tuan rumah dengan menanduk hantaran Jannick Schuster ke gawang kosong pelawat.
The Blues kemudiannya mendakwa mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-76. Pelawat mendakwa Mamadou Sangare mengasari Valentin Barco dalam kotak penalti.
Pengadil perlawanan, Andy Madley kemudiannya berbincang dengan pegawai VAR berhubung insiden tersebut. Pada akhirnya, Madley menolak rayuan penalti yang dibuat Chelsea.
Thiago kemudiannya menambah derita pelawat pada minit ke-83. Gol itu juga merupakan gol pertama beliau bersama Brentford musim ini.
Bekas pemain sayap Liverpool, Fabio Carvalho memastikan Brentford meraih kemenangan bergaya dengan gol pada minit akhir perlawanan. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan anak buah Andrews kini menduduki tangga ketiga liga dengan sembilan mata. Chelsea pula kini di tangga ketujuh liga dengan tujuh mata.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali beraksi selepas tamat kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Brentford dan Chelsea masing-masing akan menentang Aston Villa dan Bournemouth pada 10 Oktober ini.
Schuster menjadi pemain terbaik perlawanan pilihan Sofascore dengan markah 8.5. Beliau jauh meninggalkan rakan sepasukan, Vitaly Janelt dan Martinez yang berkongsi 7.5 mata.