Advertisement
EPL: Chelsea Leburkan Rekod Tanpa Kalah Tottenham Hotspur
EPL
MakanBola
Premier League

Chelsea memastikan rekod tanpa kalah pasukan dari utara London, Tottenham Hotspur dalam EPL lebur dengan meraih kemenangan besar 4-1 awal pagi ini.

Perlawanan derby London ini turut mendapat jolokan perlawanan derby Mauricio Pochettino.

Ini disebabkan Pochettino pernah melatih Spurs sebelum menerima tawaran sebagai pengurus Chelsea pada awal musim ini.

Dengan rekod tanpa kalah EPL mereka menjadi pertaruhan, Tottenham yang dibimbing Ange Postecoglou mula memburu gol awal.

Mereka tidak menunggu lama mendapatkan gol awal menerusi Dejan Kulusevski pada minit keenam.

Bagaimanapun, keceriaan penyokong di Stadium Tottenham Hotspur tidak bertahan lama. VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Cristian Romero ke atas rakan senegaranya, Enzo Fernandez dalam kotak penalti pada minit ke-31.

Selepas memeriksa insiden berkenaan di monitor, pengadil Michael Oliver tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Romero dan menganugerahkan penalti kepada Chelsea.

Sepakan penalti itu mudah disempurnakan graduan akademi Manchester City, Cole Palmer pada minit ke-35. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Spurs terus berdisiplin mengawal pertahanan mereka biarpun beraksi dengan 10 pemain.

Malangnya, tuan rumah dipaksa bermain dengan sembilan pemain apabila bek kiri muda Itali, Destiny Udogie mengutip kad kuning kedua pada minit ke-55.

Ini membuka ruang kepada The Blues untuk melancarkan serangan demi serangan ke atas kubu pertahanan Spurs.

Akhirnya, Nicolas Jackson menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-75. Bekas penyerang Villareal itu kemudiannya mencipta hatrik dengan menyumbat dua lagi gol pada minit ke-94 dan 97.

Dua gol lewat itu sudah cukup untuk menjamin kemenangan besar 4-1 Chelsea ke atas Tottenham Hotspur.

Keputusan ini menyaksikan The Blues kekal di tangga ke-10 dengan 15 mata. Sementara Spurs pula menggigit jari kerana tidak dapat memintas Manchester City dengan 26 mata.

Selepas ini, Spurs bakal bertandang ke Molineux untuk menentang Wolves pada 11 November. Manakala The Blues pula melayan kunjungan City di Stamford Bridge pada awal pagi 13 November.