Kepulangan Frank Lampard sebagai pengurus Chelsea buat kali kedua masih gagal menginspirasikan kebangkitan yang diharap pemilik kelab Todd Boehly. Ini selepas Blues tewas 1-0 kepada Wolverhampton Wanderers di Molineux hari ini.
Lampard yang dilantik sebagai pengurus sementara sehingga akhir musim kelihatan mahu mencipta kemenangan dalam perlawanan pertamanya. Ini dapat dilihat sebaik sepak mula, barisan serangan Blues diketuai Kai Havertz mula menguji barisan pertahanan tuan rumah diketuai Craig Dawson.
Chelsea hampir mendapat permulaan positif seawal minit kedua. Hantaran rendah bek kanan England, Reece James ke dalam kotak penalti Wolves hampir-hampir masuk ke dalam gol tetapi berjaya disekat penyerang tuan rumah, Diego Costa sebelum dikeluarkan.
Tersentak, Wolves sabar mencari peluang menguji penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga. Dan ia terhasil pada minit ke-31 apabila Matheus Nunes meletakkan tuan rumah di hadapan.
Hantaran Daniel Podence dalam kotak penalti pelawat cuba dikeluarkan bek tengah Blues, Kalidou Koulibaly. Tetapi ia hanya sampai ke kaki Nunes sebelum melepaskan rembatan menewaskan Arrizabalaga untuk gol pertamanya musim ini. Blues cuba bangkit tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Chelsea berang apabila dinafikan sepakan penalti pada minit ke-56 susulan bola sepakan Joao Felix terkena Nunes. Tetapi apabila disemak oleh Pembantu Pengadil Video (VAR), keputusan pengadil diterima kerana bola terkena bahagian tepi pemain tengah Wolves itu.
Dengan Blues masih buntu mencari gol, Lampard memasukkan Pierre-Emerick Aubameyang, Mykhailo Mudryk dan Ben Chilwell. Satu-satunya peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-70 menerusi Aubameyang tetapi tandukannya tersasar.
Chelsea terus mengasak tetapi Wolves memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kekalahan ini, Blues kekal di tangga ke-11 dengan 39 mata sambil diekori Wolves di tangga ke-12 dengan 31 mata.
Selepas ini, anak-anak buah Lampard berdepan tugas sukar menentang Brighton di Stamford Bridge pada 15 April ini. Manakala Wolves pula mahu melebarkan kelebihan mereka dari zon penyingkiran dengan keputusan positif menentang Brentford pada hari yang sama.