Chelsea dikecewakan Brighton buat kali kedua dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex.
The Blues berharap dapat bangkit selepas tewas 2-1 kepada lawan sama dalam saingan The Emirates FA Cup. The Seagulls turut mengintai kemenangan untuk menghambat Bournemouth yang berada di tangga ketujuh.
Brighton memilih Adam Webster sebagai pengganti kapten, Lewis Dunk yang direhatkan akibat kecederaan. Chelsea pula membuat empat pertukaran termasuk menurunkan Filip Jorgensen.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium Amex.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca terpaksa membuat pertukaran pemain awal pada minit ke-20. Beliau memasukkan Jadon Sancho menggantikan Noni Madueke yang mengalami kecederaan.
The Seagulls kemudiannya meraih gol pendahuluan menerusi Kaoru Mitoma tujuh minit selepas itu. Selepas menerima hantaran Bart Verbruggen, Mitoma membuat larian sebelum menewaskan Jorgensen.
The Blues hampir menyamakan kedudukan menerusi Pedro Neto pada minit ke-35. Malangnya, rembatan bekas pemain sayap Wolves itu dihalang pertahanan Brighton.
Dua minit selepas itu, Yankuba Minteh menggandakan kelebihan tuan rumah. Minteh tenang menewaskan Jorgensen bagi menjadikan kedudukan 2-0 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Chelsea berusaha merapatkan jurang gol dengan The Seagulls tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, Minteh sekali lagi merobek gawang Jorgensen pada minit ke-63. Bekas pemain Newcastle United itu meledakkan gol kelimanya bersama Brighton musim ini.
Gol tersebut mencetuskan pertelagahan antara kedua-dua pasukan. Ini selepas Chelsea meminta perlawanan dihentikan bagi membolehkan Levi Colwill menerima rawatan.
The Blues membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan. Malangnya, itu tidak cukup untuk menghalang Brighton meraikan kemenangan pada akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Chelsea kekal di tangga keempat dengan 43 mata, dua mata di hadapan Manchester City. Brighton pula kini dipisahkan tiga mata dengan Bournemouth yang mengumpul 40 mata.
Minteh dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.5. Beliau mengatasi rakan sepasukan, Danny Welbeck yang mendapat markah 7.6.
Selepas ini, Chelsea akan berdepan Aston Villa pada 23 Februari. Southampton pula bakal menjadi lawan Brighton seterusnya pada 22 Februari.