Penampilan pertama bintang muda Chelsea, Jesse Derry dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bertukar menjadi mimpi ngeri.
Ini selepas pemain berusia 18 tahun itu berlaga kepala dengan pemain pertahanan Nottingham Forest, Zach Abbott dalam kotak penalti di Stamford Bridge pada separuh masa pertama.
Sebaik menyedari kedua-dua pemain memerlukan bantuan perubatan, pengadil perlawanan, Anthony Taylor mengarahkan pasukan perubatan kedua-dua pasukan segera masuk ke padang.
Selepas menerima rawatan lebih enam minit, anak kepada bekas pemain tengah Crystal Palace, Shaun Derry itu kemudiannya diusung keluar untuk menerima rawatan selanjutnya.
Jurulatih interim Chelsea, Calum McFarlane kemudiannya memasukkan Liam Delap sebagai pengganti Derry untuk baki separuh masa pertama.
Insiden itu juga menyebabkan Taylor menganugerahkan penalti kepada The Blues. Walau bagaimanapun, penalti Cole Palmer dinafikan penjaga gol Forest, Matz Sels.
Chelsea ketika ini ketinggalan 3-0 di Stamford Bridge. Dua gol Taiwo Awoniyi dan penalti Igor Jesus meletakkan anak buah Vitor Pereira selesa berada di hadapan.