Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini menyaksikan Liverpool membenam cabaran Chelsea dalam aksi penuh drama dan sengit.
Setelah diikat Nottingham Forest dalam aksi terakhir, Chelsea berdepan tugas berat apabila bakal berdepan pendahulu liga ketika ini, Liverpool di Anfield pada perlawanan minggu ke-8.
Liverpool turun tanpa penjaga gawang utama, Alisson Becker yang mengalami kecederaan manakala Reece James kembali menyarung jersi Chelsea dan diberikan tugas selaku kapten.
Permainan berlangsung cukup sengit sehinggalah Liverpool dihadiahkan sepakan penalti dan tugas itu dengan tenang disudahkan oleh tonggak utama, Mo Salah pada minit ke-29.
Di masa tambahan, aksi riuh seketika apabila pengadil sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat Liverpool setelah Curtis Jones dijatuhkan oleh penjaga gol, Robert Sanchez.
Walau bagaimanapun, keputusan mengejut itu ditarik balik setelah disemak oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) dan tuan rumah memasuki bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.
Separuh masa pertama tamat, Liverpool 1-0 Chelsea.
Kembali dari rehat, Chelsea tidak perlu menunggu lama bagi meraih gol pertama menerusi Nicolas Jackson pada minit ke-48 setelah VAR mengesahkan jaringan tersebut tidak ofsaid.
Tiga minit kemudian, suasana di Anfield kembali riuh apabila pemain tengah, Curtis Jones menyambar hantaran lintang Mo Salah untuk meletakkan Liverpool di hadapan buat kali kedua.
Pedro Neto dan Cole Palmer berpeluang untuk menyamakan kedudukan buat Chelsea namun malang percubaan pemain sayap ini mudah dihalang oleh barisan pertahanan Liverpool.
Perlawanan di Anfield berakhir dengan keputusan 2-1 buat Liverpool.
Keputusan ini mengekalkan kedudukan Liverpool di tangga teratas liga dengan 21 mata, satu mata di hadapan pencabar, Man City manakala Chelsea jatuh dua anak tangga ke tempat ke-6.
Saingan EPL minggu hadapan menyaksikan Liverpool bakal berdepan sebuah lagi kelab dari London, Arsenal di Emirates manakala Chelsea pula akan menerima kunjungan Newcastle United.