Manchester United kempunan meraih mata di laman sendiri setelah dimalukan kelab pertengahan liga, Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Manchester United yang mencatatkan empat kemenangan berturut-turut dalam liga sebelum ini turun melayani kunjungan Fulham yang tewas dalam aksi terdahulu berdepan Aston Villa.
Penguasaan bola dilihat seimbang di antara kedua-dua pasukan dengan Manchester United memiliki peluang untuk membuka tirai jaringan namun rembatan Diogo Dalot sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol Fulham.
Fulham turut menguji pintu gol tuan rumah menerusi percubaan bekas pemain Manchester United, Andreas Pereira dari luar pintu gol, namun berjaya ditepis keluar Andre Onana.
Ini sekaligus mengakhiri babak pertama tanpa sebarang jaringan.
Bersambung 45 minit kedua, tuan rumah terus bergelut untuk menembusi benteng pelawat meskipun beberapa pertukaran di lakukan pengurus, Erik Ten Haag.
Kesempatan ini digunakan sebaiknya Fulham untuk merobek gawang United menerusi Calvin Bassey yang melakukan rembatan kencang menewaskan Onana di pintu gol pada minit ke-65.
Manchester United terus terdesak untuk mencari gol penyamaan dengan beberapa peluang terhidang gagal dimanfaatkan jentera serangan yang diketuai Marcus Rashford.
Usaha berterusan United akhirnya membuahkan hasil setelah kapten, Harry Maguire muncul penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89.
Walaupun pada mulanya Maguire didakwa berada di dalam kedudukan ofsaid, akan tetapi, setelah disemak oleh pengadil, jaringan tersebut dikira dan disahkan untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Ketika aksi hampir ke penghujung, pemain tengah Fulham, Alex Iwobi meranapkan impian satu mata Manchester United apabila sepakan kaki kanannya terus menerjah gawang, membuatkan pemain Manchester United tergamam.
Tamat perlawanan, Manchester United 1-2 Fulham.
Aksi liga seterusnya menyaksikan The Red Devils bakal bertarung menentang jiran setempat, Manchester City dalam aksi derbi Manchester manakala Fulham bakal melayani kunjungan Brighton and Hove Albion.