Liverpool gagal meraih tiga mata penuh di Goodison Park apabila diikat 2-2 dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).
Aksi ini sepatutnya berlangsung pada 7 Disember lalu tetapi ditunda disebabkan Ribut Darragh. Aksi ini juga merupakan aksi setempat Merseyside terakhir di Goodison Park sebelum Everton berpindah ke stadium baru mereka di Dok Bramley-Moore.
Beto terus menjadi pilihan David Moyes untuk mengetuai jentera serangan Everton. Penjaring terbanyak Liverpool, Mohamed Salah terus menjadi ayam tambatan pasukan itu.
Separuh masa pertama menyaksikan Everton terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-11 menerusi Beto. Penyerang Guinea-Bissau itu pantas menyempurnakan hantaran Jarrad Branthwaite yang menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson.
Tersentak, The Reds mula mengasak untuk memburu jaringan penyamaan. Hasilnya, Alexis MacAllister menyamakan kedudukan lima minit selepas itu.
Kegagalan The Toffees mengeluarkan bola daripada situasi bola mati pantas dihukum Salah. Penyerang Mesir itu membuat satu hantaran yang mudah ditanduk MacAllister yang menewaskan Jordan Pickford.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Everton dan Liverpool terus mengatur serangan demi serangan untuk mendapatkan gol kedua.
Pengurus Liverpool, Arne Slot kemudiannya memasukkan Trent Alexander-Arnold dan Curtis Jones untuk menyuntik lebih banyak kreativiti dalam serangan mereka.
The Reds menyangka mereka dibolosi buat kali kedua pada minit ke-67 menerusi Branthwaite. Mereka bernasib baik kerana gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Gol kedua yang dicari pelawat akhirnya muncul pada minit ke-73 menerusi Salah. Meskipun Pickford berjaya menepis percubaan Darwin Nunez, penyerang Mesir itu menyudahkan percubaan susulan Liverpool.
Tatkala The Reds menyangka mereka membawa pulang tiga mata penuh, James Tarkowski muncul wira buat Everton. Bekas bek tengah Burnley itu pantas menyudahkan bola melepasi Alisson.
Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas pengadil meniup wisel perlawanan, pertelagahan tercetus antara kedua-dua pasukan di atas padang.
Situasi ini menyebabkan pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kedua kepada Abdoulaye Doucoure dan Jones. Slot dan pembantunya, Sipke Hulshoff turut dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Meskipun seri, kedudukan Liverpool sebagai pendahulu liga masih utuh dengan kelebihan tujuh mata. Everton pula di tangga ke-15 dengan 27 mata.
Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau diekori rapat oleh Branthwaite yang meraih 8.1 mata.
Selepas ini, Everton akan menentang Crystal Palace di Selhurst Park pada 16 Februari. Liverpool pula akan menentang Wolves pada hari yang sama.